Meletakkan Kepercayaan Kepada Yang Amanah

May 25, 2009

Memang sukar mendapat seseorang yang boleh dipercayai sekarang ini lebih-lebih lagi berhubungkait dengan amanah yang telah diberikan dengan perjanjian meskipun perjanjian itu hanya secara lisan.

Adik ipar aku telah lulus ujian menjaga rahsia. dia telah memohon untuk bekerja sebagai ‘bodyguard’ eksekutif di sebuah syarikat pengawal keselamatan kelas 1. Dalam sesi latihan dan ujian yang dijalankan beliau telah di uji dengan syarat jangan diceritakan apa2 yang di tanya semasa didalam soal siasat. Beliau telah dimasukkan kedalam bilik gelap soal siasat lalu disoal tentang biodatanya termasuk no kad pengenalan. Setiap soalan yang tidak dijawab, akan dibelasah oleh orang yang tidak dikenali. Hasilnýa badan beliau calar-balar. Walaupun sesi soal-jawab tersebut hanya 15 minit tetapi keperitan deraan yang dihadapinya amat menyiksakan namun dia berjaya melalui semua itu. Tidak ada satupun data peribadinya terbongkar. Dengan ujian itu beliau berjaya mendapat jawatan sebagai pengawal pribadi kelas 1. Beliau akan bertugas sebagai ‘escort’ kepada orang2 kenamaan dan ‘expatriate’ apabila di arahkan kelak.
Kental, beramanah, boleh dipercayai, kuat semangat dan keras hati itulah labelku padanya.
Semuga berjaya. Bukan mudah hendak mendapat seseorang yang boleh dipercayai sekarang ini. Jika terbongkar amanah walau sekali, sudah tentu tidak akan dipercayai lagi manakala akibatnya mungkin selamanya tersemat dihati.


Masa Aku Kau dan Dia

November 27, 2008

compare-alarm-clockBagaimanakah anda menguruskan masa? Bagaimanakah saya menguruskan masa? Mungkin jawapan anda dan saya adalah berbeza kerana kita menguruskan masa mengikut kemahuan dan keselesaan kita sendiri dan mungkin telah menjadi adat dalam kehidupan kita.

Lalu untuk menjadikan cerita ‘pengurusan masa’ ini lebih ilmiah saya telah mengkaji teori Dr Philip Zimbardo dari Stanford Universiti USA. Beliau telah membahagikan sifat manusia terhadap masa kepada 4 zon. Untuk memudahkan kefahaman beliau namakan ‘Zon Masa’.

Zon Zimbardo

Zon 1.

Manusia yang berada didalam zon ini memilih untuk hidup yang tenang, aman, sunyi dan bebas dari tekanan. Manusia zon ini suka menghabiskan masa sendiri dan tidak pedulikan tarikh akhir. Jika ada temujanji dialah yang lewat dan keseluruhan hidupnyanya tidak teratur.

Zon 2

Orang yang berada didalam zon ini suka bersosial. Mereka ini contohnya suka berparti-parti dan gemar melayan pelanggan perniagaan. Tindakan dan perlakuan mereka bergantung kepada apa yang terjadi. Bak kata pepatah bila mengantuk baru cari bantal. Setelah itu mereka membuat masalah sendiri kerana mereka tidak merancang. Contohnya sudah sampai ketempat pelancungan baru hendak mencari hotel atau tempat penginapan. Masalah yang akan timbul, berkemungkinan terpaksa tidur didalam khemah kerana hotel semua sudah penuh. Orang zon 2 ini suka membuat berbagai-bagai jenis kerja asalkan mereka boleh berada diluar pejabat. Disebabkan mereka ini tidak suka membuat perancangan, mereka kurang berminat kepada projek-projek jangka panjang. Paling mereka gemari adalah melihat keputusan yang cepat dari apa-apa kerja yang mereka usahakan.

Zon 3

Anda mungkin tergolong dalam zon ini sekiranya anda seorang yang kemas dan suka membuat kerja secara teratur, bersistematik. Golongan ini suka melakukan satu kerja pada satu masa dan menjadi resah mengelabah jika diberkan tugas yang banyak pada satu-satu masa. Mereka pergi bersukan tanpa jemu dan menjaga diet mereka dengan teratur. Mereka suka merancang sebelum membuat sesuatu pekara, mungkin juga ada insuran nyawa dan insuran kesihatan.

Zon 4

Inilah manusia yang paling hebat. Mereka ini dalam ‘hot pursuit’, ‘hot soup’, sentiasa sibuk kesana-sini tapi tetap menjaga masa. Jika ada ‘deadline’ itu dianggap sebagai cabaran. Perkataan berehat amat sukar ditemui pada orang dalam zon 4 ini. Berjalan dan bercakap dengan cepat dan tepat. Walaupun dalam keadaan serba sibuk, mereka jarang-jarang lewat apabila ada temujanji atau mesyuarat. Biasanya mereka ini akan tiba pada saat-saat akhir.

Sekarang, sudahkan anda tahu dimana kdudukan anda sekarang? Zon 1, 2, 3 atau 4? Jarang-jarang sekali ditemui seorang yang hidup dalam 2 zon sekaligus.

Apa masalah anda? Setiap orang yang berada didalam zon-zon ini akan cuba memperbaiki dan menguruskan masa mereka mengikut zon masing-masing.

So, how can we change a person? Kita pun sebenarnya tidak tahu bagaimana menguruskan masa sendiri.


Model Rumah (Part 2)

November 24, 2008

hg0236Tajuk diatas ini sudah lama ingin ditulis dan dibincangkan, tetapi memandangkan material dan masa yang tidak bersesuaian maka saya diamkan sahaja sehinggalah seorang rakan blog memberi suntikan semangat untuk terus menulis berkenaan dengan isu model rumah.

Saya telah merujuk dan membuat kajian dari beberapa buah buku berkenaan dengan ‘architecture’ terutamanya dinusantara kita yang khasnya membincangkan peranan rekabentuk rumah dan hubungannya dengan Agama Islam. Diantara banyak-banyak rujukan moden dan tradisional itu, yang paling menarik minat saya adalah Kitab ‘Tajul Muluk’. (Akan saya cuba merumuskan intisarinya selepas ini).

Disamping itu juga saya pernah berkesempatan mendengar kuliah berkenaan dengan ‘Islamic Architecture’ dan terus meresap dalam sanubari saya untuk menulisnya dengan serius walaupun saya tidak mempunyai latarbelakang ilmu ‘architecture’ tetapi dirasakan amat penting diketahui dan dijadikan panduan oleh masyarakat terutamanya yang bergelar Islam.

Didalam Kitab Tajul Muluk, ada disebut perihal cara dan panduan membuat rumah dalam 12 mukasurat dari keseluruhan 148 mukasurat. Walaupun isi Kitab ‘Tajul Muluk’ sentiasa menceritakan alamat baik buruk dan sial majal jika hendak mendirikan rumah, tetapi ada disentuh tentang peranan sinar matahari, arah rumah, saiz rumah, tanah tapak rumah, tiang, bumbung, serambi, bilik, papan, bendul dan bilakah tarikh sesuai mendirikan rumah.

Dalam pembinaan rumah-rumah sekarang ini, aspek-aspek yang selalu dibincangkan hanyalah berkenaan dengan memaksimumkan ruang, keselamatan, keselesaan, rekabentuk dan bajet. Tetapi tidak pula menyentuh aspek-aspek seperti berikut:

  1. Rumah untuk kemudahan bersolat
  2. Rumah 3 bilik
  3. Bilik Air/ Tandas
  4. Rekabentuk Islam

  1. Rumah Untuk Kemudahan Bersolat

‘Solat adalah tiang agama’ begitulah maksud hadith yang meletakkan solat sebagai tunjang didalam kehidupan seorang mukmin. Disandarkan misalan kepada tiang yang bermakna paksi atau rangka utama kepada rumah untuk menunjukkan kalau tanpa tiang maka rumah tersebut tidak akan terbina.

Jika hendak mendirikan rumah seorang Muslim, haruslah di lihat bagaimana rumah tersebut direka supaya ahlinya boleh menunaikan solat dengan sempurna. Ini termasuklah dimana hendak diletakkan tempat mengambil wuduk, kedudukan tempat solat dan kemudahan penghuninya melakukan solat tanpa gangguan.

Tempat mengambil wudhuk mestilah berdekatan dengan tempat solat kerana mengelakkan dari berjalan diatas lantai yang berkemungkinan ada najis. Kebanyakan rumah menyediakan tempat wudhuk didalam bilik air yang ada tandas. Ini memungkinkan najis dibawa keatas sejadah lalu mengakibatkan solat tidak sah. Demi mengelakkan kesan ragu-ragu maka eloklah tempat mengambil wudhuk di sediakan berdekatan dengan tempat solat.

Arah kiblat memainkan peranan penting dalam rekabentuk rumah seorang Muslim. Sebaik-baiknya disarankan pintu masuk ke rumah mengadap ke arah matahari terbit kerana kedudukan bersolat yang mengadap kiblat (arah matahari terbenam) tidak akan diganggu oleh keluar masuk orang kerumah tersebut. Secara ringkasnya, kedudukan solat mengadap kiblat adalah dengan membelakangkan pintu masuk. Secara tidak langsung bersesuaian pula dengan ‘Feng Shui’ yang mengatakan kebaikan pintu masuk disinari matahari pagi. Kesan baiknya, rumah tersebut tidaklah menerima cahaya dan bahang matahari petang yang akan membuatkan rumah tersebut berbahang panas diwaktu malam.

Kesimpulannya, kedudukan rumah sebaik-baiknya hendaklah mengadap kiblat secara sudut tepat. Tetapi, apa yang terjadi kebanyakan rumah apabila hendak mengerjakan solat, kedudukan tempat solatnya menyerong kekiri atau kekanan. Ini akan mengakibatkan solat kita mengarah kepada sudut kiblat yang berkemungkinan tidak tepat. Melalui pengalaman dan pemerhatian, saya perhatikan rumah-rumah orang dahulu memang mengutamakan arah kiblat dan jarang sekali bertemu rumah orang-orang Islam dahulu yang tempat solatnya menyerong kekiri atau kekanan.

  1. Rumah 3 bilik.

Dalam Kitab ‘Tajul Muluk’ ada disebutkan berkenaan cara membuat rumah 3 ruang/bilik atau 4 ruang/bilik. Tidak pula disebutkan 2 bilik atau 1 bilik.

Dalam hukum fekah berkenaan dengan adab lelaki perempuan dan bagaimana kewajiban memisahkan bilik tidur anak lelaki dan perempuan, penyediaan sekurang-kurangnya 3 bilik bagi sesebuah rumah harus dititikberatkab dalam rekabentuk pembinaan rumah Muslim. Bilik utama dihuni oleh ibubapa, bilik kedua untuk anak-anak lelaki dan bilik ketiga untuk anak-anak perempuan.

Pemaju perumahan seharusnya digesa supaya mendirikan rumah dengan sekurang-kurangnya 3 bilik. Ini boleh di lakukan dengan arahan dan peraturan yang di wajibkan oleh kerajaan.

  1. Bilik air/ tandas.

Islam memandang berat akan kebersihan. Tidak cukup dengan kebersihan Islam meletakkan ‘suci’ sebagai salah satu kewajipan bagi orang Islam bagi membolehkan mereka melaksanakan ibadat. Dan sehubungan dengan itu juga, bilik air (yang biasanya di satukan dengan tandas) adalah tempat tinggal syaitan. Maka tidak wajarlah manusia menghuni rumah yang juga dihuni oleh syaitan.

Untuk tujuan kebersihan, suci dan jauh dari syaitan, maka digalakkan supaya rumah atau bilik-bilik tidak disatukan dengan bilik air atau tandas. Caranya, bumbung bilik air itu hendaklah dipisahkan dengan bumbung bangunan rumah. Dengan kepandaian dan kreativiti arkitek, kedudukan rumah dan laluan ke bilik air ini boleh dilakukan dengan mudah, selamat dan selesa pada setiap masa.

  1. Rekabentuk Islam

Kita lihat bagaimana identiti ugama-ugama selain dari Islam telah digunakan dalam pembinaan rumah atau bangunan secara berleluasa. Baru-baru ini di temui bahawa bentuk pembinaan menara berkembar KLCC adalah sama dengan rekabentuk candi Hindu di Merbuk Kedah. Tidak diketahui samada ini adalah kebetulan atau memang merupakan tujuan utama motif pembinaan bangunan berkembar KLCC.

Walaubagaimanapun arkitek Muslim harus diberi kesedaran bahawa pembinaan rumah atau bangunan orang Islam seharusnya mempunyai ciri-ciri Islam. Mungkin mereka boleh mencipta bentuk ‘arch’, ‘kecubung’ atau bermotifkan ‘flora’ sebagai asas kepada pembinaan dan design rumah atau bangunan.

Apakah kesan rekabentuk Islamik kepada penghuni dan pengunjung rumah tersebut? Secara mudahnya, penghuni dan pengunjung rumah tersebut merasa bahawa dirinya dekat dengan Islam, bersatu dalam sebuah rumah yang menitikberatkan nilai-nilai Islam yang sangat harmoni.

Bagi penghuni yang berada didalam rumah bercirikan Islam, sudah tentu merasa aman dan tenteram kerana tinggal didalam suasana Islam dari sejak mula diduduki dengan niat ‘Kerana Allah’. Dengan niat itulah mudah-mudahan Allah menurunkan rahmat, hidayah dan inayah kepada penghuni rumah tersebut. Tidak hairanlah jika kita lihat sesiapa sahaja yang hendak menegakkan kalimah Allah, menegakkan Islam dengan apa cara akan dikurniakan Allah ganjaran dalam berbagai bentuk baik semasa didunia ataupun diakhirat.

Secara keseluruhannya, dirasakan bahawa terdapat banyak lagi yang perlu di bincangkan, idea diketengahkan dan diamalkan oleh masyarakat berkenaan dengan ‘Model Rumah’ yang sesuai untuk orang-orang Islam. Rumah dan bangunan orang Islam mestilah berbeza dengan rumah orang bukan Islam kerana peranan rumah bagi orang Islam lebih luas dari peranan rumah orang bukan Islam. Islam meletakkan ‘Baiti Jannati’ atau ‘Rumahku Syurgaku’ padahal orang-orang bukan Islam hanya meletakkan ‘Home Sweet Home’. Itulah perbezaan dan kerana itulah semua pihak harus memberikan perhatian yang sewajarnya demi pembangunan masyarakat insan Muslim.