Imaginasi…terlalu seni.

Seniman adalah orang yang lekas terharu melihat atau mendengar yang ada berkeliling. Tidak sahaja terharu melihat yang indah, yang tidak indahpun menyebabkan dia terharu juga. Sesuatu yang tidak adil, suara yang tidak harmonis, pandangan atas kepincangan masyarakat dunia, kezaliman dan aniaya. Kemelaratan si miskin, sedang si kaya hidup senang, nasib bangsa dan tanah air yang menderita dari hisapan darah dan tekanan bangsa penjajah dan lain-lainsemuanya menyebabkan seniman terharu. Kerana halus perasaannya.

Sesudah dia terharu, maka timbullah khayal. Terharu kerana yang buruk maka timbullah khayal, bagaimana hendaknya yang lebih baik. Terharu melihat negeri terjajah, terkhayal bagaimana rupanya negeri yang merdeka. Khayal yang indah itulah yang menimbulkan kemahuan (iradah).

Filosof Plato dalam filsafatnya membahagikan alam ini kepada dua bahagian, alam hakikat dan alam khayal, alam madi dan alam mutsul, jadi menurut beliau hidup yang berharga itu ialah hidup yang berkhayal dan bercita-cita mecapai yang terhayal itu.

Bagi orang yang berdarah penyair dan pengarang, terharu dan berkhayal itulah kekayaan yang sejati.

Bilamana terharu dan khayal telah berpadu maka datanglah ilham. Disanalah permulaan sesuatu ciptaan.

Yang dua itulah sebagai rukun bagi mencipta seni. Sesudah itu perlulah alat untuk lahirnya, iaitu kekayaan bahasa. Bahasa itu, sebagai ‘wakil-wakil’ untuk menyampaikan perasaan hati, yang bagi ahli pidato terlompat dari lidah dan bagi ahli syair atau pengarang terlompat kedalam tinta, mengalir kehujung pena, dimainkan oleh si jari keatas kertas yang putih. Bagi ahli muzik mulailah ‘main’ jarinya menggariskan not. Bagi ahli lukis mengalirlah dari catnya ke atas kain atau keatas kertas yang luas.

Adapun bahasa yang tidak dapat menciptakan syair. Ilmu yang dangkal tidak dapat mengajuk laut. Hati yang kasar tidak dapat mengenal indah. Tangan yang kaku tidak dapat melukiskan palet, walau bagaimanapun terharu, walaupun bagaimana berkhayal:

“Anak landak dilesung cinta,

Makan berulang dalam perahu,

Hati berkehendak bagaikan gila,

Tapi menyebut tiada tahu.”

Remuk didalam dan habis saja dalam keluhan. Kelak kalau dibaca atau didengar rangkuman syair atau keindahan pidato, maka orang yang kaya rasa, tetapi miskin bahasa itu, terlompat-lompatlah atau bersorak-sorak, Ah betul begitu! Memang terasa olehku! Ah, Hatiku yang dikeruknya, jantungku yang dilompat keluar. Masyaalah!!

Itulah sebabnya, walaupun didalam jiwa telah ada dasar seni, kehalusan perasaan terharu,keindahan khayal, kalau tidak membaca tulisan orang lain, syair orang lain, mendengar pantun, muzik yang merdu, atau lukisan yang indah maka ‘telur’ syair itu mati saja dalam eraman!

Sesudah bertemu rukun yang dua, terharu dan khayal dengan kesanggupan bahasa, ilhamnya yang mendorongnya keluar, waktu itu datanglah tuan ‘inspektornya’, iaitu fikiran! Fikiranlah yang mendorong menyusunnya, memeriksa letaknya.

Syair yang indah, oleh sebab itu, tidaklah berat. Sebab fikiran tidak terlalu banyak menguasainya. Fikiran hanya banyak memasukkannya dalam soal-soal ilmu pengetahuan, untuk semata otak. Sedang syair adalah untuk hati. Tapi janganlah pula silap, syair yang tinggilebih indah dirasakan oleh orang yang telah tinggi pula kehalusan perasaannya. Tidak ubah juga dengan warna sang Nyonya yang berpendidikan tinggi, sudi akan warna seimbang dan campuran yang adil, sedang Sang Babu suka yang merah padam!

Maka bilamana telah tergabung kedua rukun, terharu dan khayal, ditambah kekayaan bahasa, ditambah tuntunan fikiran, mencapailah syair akan puncak keindahannya.

Ekstrak disusun semula dari buku tulisan Prof Hamka – Kenang-kenangan Hidup 1942.

2 Responses to Imaginasi…terlalu seni.

  1. aida says:

    memang terlalu seni….

  2. arjuna says:

    banyak sgt nak kena fikir

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: