Perjuangan Yang tidak Kunjung Selesai

Lahir sahaja di dunia ini, manusia telah diberikan Tuhan 3 perkara. Pertamanya rezeki, keduanya jodoh dan ketiga ajal.

Rezeki

Yang dimaksudkan rezeki adalah apa-apa saja nikmat dan rahmat yang bukan sahaja berbentuk kebendaan tetapi juga berbentuk bukan material seperti rasa kepuasan, kebahagiaan, ketenangan yang tidak dapat di ukur oleh apa-apa alat pengukur.

Keupayaan seseorang, kepandaian dan keistimewaan yang dimiliki adalah juga merupakan rezeki. Pemberian rezeki ini telah ditentukan oleh tuhan samada manusia itu berusaha, berusaha sedikit atau ada juga yang tidak berusaha tetapi mendapat rezeki ketetapanNya.

Manusia manapun, baik Islam atau tidak semuanya akan mendapat rezeki tetapi mengikut kadar masing-masing. Ada yang mendapat rezeki sedikit ada yang mendapat banyak dan ada yang hanya boleh menumpang rezeki orang. Untuk manusia dari orang kebanyakan, rezeki mereka dalam bentuk kebendaan dan kewangan mungkin kelihatannya sedikit dari rezeki yang di perolehi oleh orang-orang kenamaan dan bangsawan. Itu adalah penilaian mata kasar. Tetapi mungkin kita lupa bahawa rezeki dari aspek kepuasan hidup dan kebahagiaan mereka didalam golongan kebanyakan mungkin lebih berbanding dengan kepuasan hidup dan kebahagiaan orang-orang kenamaan, bangsawan dan hartawan.

Tak perlu kita pergi jauh-jauh untuk melihat kebenaran apa yang disebutkan diatas, sebaliknya cubalah melihat pekerjaan seorang Menteri dengan pekerjaan seorang buruh.

Kehidupan seorang menteri kelihatannya sangat mewah, megah dan penuh dengan kesenangan manakala kehidupan seorang buruh umpama ‘kais pagi makan pagi’ sangat sukar sehingga terpaksa mengeluarkan peluh keringat untuk mendapatkan sesuap nasi.

Alangkah adilnya Tuhan yang mencipta manusia yang menjadikan semua ini. Pak Menteri yang hidupnya mewah rupa-rupanya diburu oleh pelbagai masalah sehinggakan semuanya terpaksa dicatit dan terpaksa pula menggunakan khidmat setiausaha ataupun khidmat ‘personal assistant’ untuk mengatur masa yang sama banyak dengan buruh tersebut.

Si Buruh pula diberikan pemikiran yang tenang tanpa gangguan temu janji, tanpa perlukan ‘body guard’ dan tanpa perlukan risikan sebelum berada di sesuatu tempat. Apa yang ada didalam kepala buruh tersebut adalah, “aku telah menyelesaikan pekerjaan untuk hari ini dan mengecap nikmatNya”. Dan apa yang perlukan oleh buruh tersebut adalah ‘esok akan ku teruskan perjuanganku’.

Jodoh

Melihat soal jodoh pula, bukanlah sahaja jodoh itu bermaksud berkahwin dengan siapa-siapa tetapi jodoh itu bermaksud apa-apa saja yang kita dapati yang menjadi hak sementara kita didunia ini. Sebagai contohnya, kasut, baju, kereta, gelang, cincin, minyak wangi yang kita pakai ada jodoh kepada kita. Kesemuanya ini adalah ketentuan Allah. Dengan siapa kita berjumpa dan dengan siapa kita berkenalan, dengan siapa kita berkawan, siapa guru-guru kita, dan sebagainya adalah jodoh yang telah ditetapkanNya.

Walaubagaimanapun kadang-kadang kita temui jodoh dengan benda atau orang yang kita tidak selesa. Maka akan berlakulah pergelutan dalaman jiwa yang kadangkala membawa kepada tekanan perasaan dan pergelutan untuk melepaskan diri dari jodoh tersebut. Walau apa pun yang kita tidak sukai, tetapi kalau itu adalah kesukaan dan ketetapan Tuhan, maka kita akan bersama dengan jodoh itu juga.

Dari kesan pergelutan antara mahukan jodoh atau tidak mahu itu timbul perkataan ‘kufur nikmat’ yang bermaksud tidak mensyukuri nikmat yang diberikan.

Apabila nikmat yang didapati itu banyak, maka manusia akan tenggelam didalam nikmat lalu lupa bahawa sebenarnya apa sahaja nikmat yang dirasai itu adalah dari Tuhan. Manusia adakalanya secara sedari atau tidak sedari merasakan dia hebat sehinggakan ada kalanya dia boleh merancang membuat itu ini, memiliki itu ini dengan kehendaknya. Maka dari situlah timbulnya perkataan ‘kufur nikmat’ yakni penyelewengan akidah hasil dari kenikmatan yang dikecapi.

Dalam keadaan begini manusia selalunya lupa bahawa jodoh nya ditetapkan oleh Tuhan. Apa sahaja hasil pekerjaan usaha untuk mendapatkan jodoh itu hanyalah merupakan sebab musabab kepada apa yang terhasil. Sebagai contoh, sekiranya seseorang pelajar berlajar dengan bersungguh-sungguh, secara teorinya kita akan berkata dia akan berjaya mendapatkan keputusan yang cemerlang. Tetapi sekiranya jodohnya dengan keputusan cemerlang itu tiada, berkemungkinan pada hari peperiksaan dia akan menjadi hilang ingatan. Lalu sampai bila-bila akan hilang ingatan.

Jodoh dengan isteri, jodoh dengan kekasih, jodoh dengan apa-apa sahaja adalah dari keputusan Allah. Begitu juga dengan tiada jodoh. Walaupun bercinta bersungguh-sungguh, asyik mahsyuk bersungguh-sungguh dan ingin sangat memiliki sesuatu benda dengan bersungguh-sungguh, sekiranya Tuhan tetapkan tiada jodoh maka akan terlerai lah ikatan kita dengan apa yang kita kehendaki sangat-sangat.

Sehubungan dengan ini, mungkin perlu kita kupas di satu episod yang lain akan tajuk ‘Bercinta tidak mesti memiliki’.

Ajal

Maksud kasar perkataan ajal adalah kematian. Walaupun demikian, jika di teliti bersungguh-sungguh ajal bermaksud penghujung sesuatu perkara, penghujung sesuatu benda, penghujung sesuatu kelakuan dan penghujung sesuatu pemilikan.

Benarlah jika diteliti dari pengajian sifat-sifat Allah dalam ‘Sifat 20’, salah satu dari 20 sifat tersebut ada sifat ‘Baqa’ bagi Allah. ‘Baqa’ bermaksud kekal. Allah bersifat kekal yakni dari dulu, kini dan selamanya Allah kekal, tidak ada penyudah dan tidak ada kematian bagi Allah. Manusia ini berlawanan sifatnya dari Allah. Sifat manusia ada penyudahnya, ada akhirnya, ada penghujung dan ada kematian.

Cuba lihat dalam perkara yang bersangkut dengan kasih sayang. Kasih sayang Allah kepada makhluknya tiada penyudah, tiada penghujung. Kasih sayang Allah dibuktikan dan di ungkapkan dalam Al Quran dalam surah Al Fatehah. Dalam bacaan Bismillah sahaja kita dapati yang Tuhan kita itu bukan sahaja mempunyai kasih dan sayang tetapi Allah bersifat pemurah yakni memberikan apa-apa kepada siapa-siapa.

Manusia sama sekali tidak mampu memberikan kasih sayang kepada manusia lain seperti Allah. Kasih sayang manusia terbatas bentuknya kerana kadangkala kasih sayang tidak dapat di sertakan dengan sifat pemurah dan pemberi. Mungkin kita menyayangi seseorang, tetapi kasih sayang kita itu akan hilang apabila kita tidur. Semasa tidur, kita tidak lagi memperdulikan orang yang kita sayangi. Kita tidak lagi ambil peduli tentang orang yang kita sayangi semasa kita tidur. Maka jelas, itulah kelemahan manusia. Kasih sayang tidak berterusan apatah lagi apabila berlaku kematian maka kasih sayang itu terputus.

Walaubagaimanapun, Tuhan telah meminjamkan sedikit bayangan sifat kasih sayang kepada manusia. Sehinggakan manusia boleh merasa disayangi, menyayangi dan terkenang-kenang walaupun orang yang dikenang itu tiada dihadapannya.

Kiasannya, jika kasih sayang manusia kepada manusia pun sudah sedemikan rupa, bagaimanakah kasih sayang kita kepada Allah dan Rasulnya. Bukankah kasih sayang Allah dan Rasul kepada umatnya tiada putus-putus, bagaimanapula kasih sayang manusia kepada Allah dan rasulnya boleh terputus-putus. Itulah manusia yang mempunyai sifat serba kekurangan.

Demikianlah antara pemikiranku malam ini berkenaan dengan pemberian Tuhan kepada manusia yang tiada ternilai. Walaupun kita tahu Rezeki, Jodoh dan Ajal itu telah ditetapkan sejak dari azali, demi mengelakkan diri kita dari menjadi tuhan lagi satu atau merasakan diri kita menjadi tuhan secara tidak disedari, maka kita terpaksa berusaha berjuang dengan tiada penghujung. Berjuang untuk mencari rezeki, berjuang untuk mendapatkan jodoh dan berjuang untuk menghadapi Ajal.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: