Krisis sub-prima sebenarnya merupakan kejayaan kapitalisme

Wan Saiful Wan Jan Sun | Oct 05, 08 | 11:11:40 am MYT

Mereka yang berhaluan Kiri dan golongan sosialis mungkin beraya besar tahun ini. Apa tidaknya. Amerika Syarikat sedang menghadapi ancaman krisis ekonomi yang hebat.

Amerika Syarikat yang dianggap sebagai lambang kemegahan kapitalisme kini berada diambang keruntuhan ekonomi. Maka tidak pelik jika ramai yang terpengaruh dengan tuduhan golongan Kiri dan puak sosialis bahawa ini juga lambang keruntuhan kapitalisme. Mereka sebenarnya tersilap.

Sosialisme merupakan satu fahaman yang membawa kepada campurtangan kerajaan dalam pelbagai hal termasuklah dalam urusan ekonomi. Golongan sosialis dan mereka yang berhaluan Kiri beranggapan bahawa tidak salah untuk kerajaan menubuhkan dan menjalankan syarikat perniagaan, ataupun menjadikan syarikat korporat sebagai hak milik negara. Mereka tidak teragak-agak untuk menggunakan wang rakyat untuk menyelamatkan (bail-out) syarikat-syarikat tertentu. Mereka menafikan keberkesanan sistem pasaran dalam menghukum dan membuang syarikat yang melakukan kesalahan.

Leon Louw, pengarah Yayasan Pasaran Bebas Afrika Selatan telah menulis satu artikel mengenai hal ini dan beliau menghuraikan dengan cermat latarbelakang Freddie Mac dan Fannie Mae. Tulisan Louw boleh membantu kita memahami situasi yang sedang berlaku. Maka saya akan memetik beberapa fakta yang beliau nyatakan. Fannie Mae dan Freddie Mac, dua syarikat gergasi di Amerika yang menjadi penyebab masalah yang kita hadapi sekarang, sebenarnya ditubuhkan atas dokongan kerajaan Amerika, atau dikenali sebagai ‘Government Sponsored Enterprises’ (GSE). Mereka ditubuhkan untuk membolehkan lebih ramai rakyat Amerika mendapat pinjaman perumahan.

Matlamat utama kerajaan Amerika pada waktu itu ialah untuk membolehkan lebih ramai rakyat Amerika membeli rumah, termasuklah golongan berpendapatan rendah. Dalam rangka mencapai matlamat mereka, syarikat-syarikat ini telah mendokong kredit dan pinjaman subprima yang jauh melangkaui tahap pinjaman yang munasabah. Tetapi mereka terus disokong oleh pelabur kerana kedua-dua syarikat ini dianggap sebagai dilindungi oleh kerajaan. v Federal National Mortgage Association (Fannie Mae) ditubuhkan pada tahun 1938 oleh kerajaan Presiden Roosevelt di bawah agenda New Deal yang amat banyak dipengaruhi oleh idea-idea sosialisme.

Fannie Mae mencipta satu ‘pasaran pinjaman peringkat kedua’ dengan cara membeli pakej pinjaman daripada bank secara pukal, lantas menyatukan pakej-pakej itu sebelum dijual semula kepada pelabur domestik dan antarabangsa. Federal Home Loan Mortgage Association (Freddie Mac) pula ditubuhkan oleh kerajaan Amerika pada tahun 1970 kononnya untuk menjadi persaingan kepada Fannie Mae. Jika digabungkan, aset kedua-dua GSE ini amat besar, iaitu 45 peratus lebih tinggi daripada aset Citicorp, bank terbesar di Amerika. Jumlah pinjaman yang mereka biayai melebihi USD$5 trilion. Fannie Mae sendiri sahaja membiayai pembelian 55 juta rumah, satu jumlah yang amat banyak. Kedua-dua GSE ini mendapat subsidi kerajaan bernilai USD$6.5 bilion setahun.

Kedua-dua syarikat ini terus menikmati dokongan kerajaan. Bekas Gabernor Federal Reserve Alan Greenspan pernah menyebut bahawa “Pasaran menganggap bahawa kerajaan menjamin operasi syarikat itu”. Vernon Smith, pemenang anugerah Nobel, pula pernah menyatakan bahawa syarikat-syarikat GSE sebenarnya merupakan syarikat yang ditanggung oleh semua pembayar cukai. Maka, walaupun kedua-dua syarikat ini beroperasi dalam ‘sistem kapitalis’ Amerika Syarikat, mereka sebenarnya menikmati faedah daripada polisi sosialis seperti subsidi dan perlindungan kerajaan. Malahan, mereka ditubuhkan pun atas prinsip sosialisme! Ini membolehkan mereka terus mendokong penawaran produk yang mungkin tidak dapat bertahan lama dalam sistem pasaran terbuka sebenar iaitu pinjaman subprima.

Mereka berani mengambil risiko yang terlalu besar, dan pelabur pula terus melabur, kerana mereka dilihat sebagai dilindungi kerajaan. Kegagalan Freddie Mac dan Fannie Mae sebenarnya mendedahkan betapa bahayanya jika kerajaan masuk campur dalam urusan ekonomi dan perdagangan secara berlebihan. Apabila kerajaan menubuhkan atau mempertahankan syarikat-syarikat tertentu yang beroperasi dalam pasaran, kerajaan mencipta satu persepsi bahawa walau apa sekalipun yang dilakukan oleh syarikat-syarikat berkenaan, ia tetap selamat.

Pelabur akan berfikiran bahawa kerajaan pasti akan menyelamatkan syarikat itu dan risiko pelaburan mereka rendah walaupun aktiviti syarikat itu berisiko tinggi. Maka tidak ada apa-apa yang menghalang pelabur, dan ekekutif syarikat tersebut daripada meneruskan strategi tidak bertanggungjawab termasuklah memberi pinjaman kepada mereka yang sebenarnya tidak mampu. Dalam pada itu, syarikat-syarikat ini memastikan agenda politik kerajaan tercapai, iaitu membolehkan rakyat membeli rumah walaupun mereka sebenarnya tidak berkebolehan untuk membayar balik pinjaman. Gerald Driscoll, pakar ekonomi daripada Cato Institute, mengatakan bahawa apa yang berlaku di Amerika sekarang adalah akibat daripada sistem ‘kapitalisme kroni’.

Driscoll berpandangan bahawa ahli perniagaan dan ahli politik bersekongkol dalam hal ini. Ahli-ahli politik telah mencipta syarikat gergasi menggunakan wang rakyat dan dengan jaminan perlindungan kerajaan. Lantas syarikat itu pula kadang kala memberi sumbangan kepada agenda politik tertentu. Jika kita mahu membandingkan dengan Malaysia, ini boleh berlaku apabila syarikat-syarikat yang didokong kerajaan membiayai atau memberi subsidi kepada agenda politik tertentu. Kita bernasib baik kerana sistem pasaran bebas dan kapitalisme akhirnya mendedahkan salah laku dan ketamakan syarikat-syarikat ini. Sistem pasaran bebas dan kapitalisme telah menghukum syarikat-syarikat yang melakukan kesalahan seperti Freddie Mac, Fannie Mae dan lain-lain lagi.

Jika diturut sistem kapitalisme, maka syarikat-syarikat ini akan terpaksa gulung tikar. Malangnya, elemen-elemen sosialis dan ahli-ahli politik pragmatik dalam pentadbiran Amerika masih mahu melindungi Freddie Mac dan Fannie Mae, mungkin untuk mencapai faedah politik jangka pendek (pilihanraya Amerika akan berlangsung tidak lama lagi). Keruntuhan Fannie Mae dan Freddie Mac sebenarnya merupakan kejayaan kapitalisme dan pasaran bebas dalam mendedahkan salah laku dua syarikat bantuan kerajaan tersebut. Ia bukan kegagalan kapitalisme. Sebaliknya ia membuktikan keampuhan kapitalisme dan pasaran bebas dalam menghukum salah laku dan ketamakan yang keterlaluan. Jangan pula kita dikelirukan oleh puak sosialis yang cuba menangguk di air keruh.

(Wan Saiful Wan Jan ialah Editor WauBebas.org dan Ketua Pengarah Malaysia Think Tank).

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: