Model Rumah (Part 2)

November 24, 2008

hg0236Tajuk diatas ini sudah lama ingin ditulis dan dibincangkan, tetapi memandangkan material dan masa yang tidak bersesuaian maka saya diamkan sahaja sehinggalah seorang rakan blog memberi suntikan semangat untuk terus menulis berkenaan dengan isu model rumah.

Saya telah merujuk dan membuat kajian dari beberapa buah buku berkenaan dengan ‘architecture’ terutamanya dinusantara kita yang khasnya membincangkan peranan rekabentuk rumah dan hubungannya dengan Agama Islam. Diantara banyak-banyak rujukan moden dan tradisional itu, yang paling menarik minat saya adalah Kitab ‘Tajul Muluk’. (Akan saya cuba merumuskan intisarinya selepas ini).

Disamping itu juga saya pernah berkesempatan mendengar kuliah berkenaan dengan ‘Islamic Architecture’ dan terus meresap dalam sanubari saya untuk menulisnya dengan serius walaupun saya tidak mempunyai latarbelakang ilmu ‘architecture’ tetapi dirasakan amat penting diketahui dan dijadikan panduan oleh masyarakat terutamanya yang bergelar Islam.

Didalam Kitab Tajul Muluk, ada disebut perihal cara dan panduan membuat rumah dalam 12 mukasurat dari keseluruhan 148 mukasurat. Walaupun isi Kitab ‘Tajul Muluk’ sentiasa menceritakan alamat baik buruk dan sial majal jika hendak mendirikan rumah, tetapi ada disentuh tentang peranan sinar matahari, arah rumah, saiz rumah, tanah tapak rumah, tiang, bumbung, serambi, bilik, papan, bendul dan bilakah tarikh sesuai mendirikan rumah.

Dalam pembinaan rumah-rumah sekarang ini, aspek-aspek yang selalu dibincangkan hanyalah berkenaan dengan memaksimumkan ruang, keselamatan, keselesaan, rekabentuk dan bajet. Tetapi tidak pula menyentuh aspek-aspek seperti berikut:

  1. Rumah untuk kemudahan bersolat
  2. Rumah 3 bilik
  3. Bilik Air/ Tandas
  4. Rekabentuk Islam

  1. Rumah Untuk Kemudahan Bersolat

‘Solat adalah tiang agama’ begitulah maksud hadith yang meletakkan solat sebagai tunjang didalam kehidupan seorang mukmin. Disandarkan misalan kepada tiang yang bermakna paksi atau rangka utama kepada rumah untuk menunjukkan kalau tanpa tiang maka rumah tersebut tidak akan terbina.

Jika hendak mendirikan rumah seorang Muslim, haruslah di lihat bagaimana rumah tersebut direka supaya ahlinya boleh menunaikan solat dengan sempurna. Ini termasuklah dimana hendak diletakkan tempat mengambil wuduk, kedudukan tempat solat dan kemudahan penghuninya melakukan solat tanpa gangguan.

Tempat mengambil wudhuk mestilah berdekatan dengan tempat solat kerana mengelakkan dari berjalan diatas lantai yang berkemungkinan ada najis. Kebanyakan rumah menyediakan tempat wudhuk didalam bilik air yang ada tandas. Ini memungkinkan najis dibawa keatas sejadah lalu mengakibatkan solat tidak sah. Demi mengelakkan kesan ragu-ragu maka eloklah tempat mengambil wudhuk di sediakan berdekatan dengan tempat solat.

Arah kiblat memainkan peranan penting dalam rekabentuk rumah seorang Muslim. Sebaik-baiknya disarankan pintu masuk ke rumah mengadap ke arah matahari terbit kerana kedudukan bersolat yang mengadap kiblat (arah matahari terbenam) tidak akan diganggu oleh keluar masuk orang kerumah tersebut. Secara ringkasnya, kedudukan solat mengadap kiblat adalah dengan membelakangkan pintu masuk. Secara tidak langsung bersesuaian pula dengan ‘Feng Shui’ yang mengatakan kebaikan pintu masuk disinari matahari pagi. Kesan baiknya, rumah tersebut tidaklah menerima cahaya dan bahang matahari petang yang akan membuatkan rumah tersebut berbahang panas diwaktu malam.

Kesimpulannya, kedudukan rumah sebaik-baiknya hendaklah mengadap kiblat secara sudut tepat. Tetapi, apa yang terjadi kebanyakan rumah apabila hendak mengerjakan solat, kedudukan tempat solatnya menyerong kekiri atau kekanan. Ini akan mengakibatkan solat kita mengarah kepada sudut kiblat yang berkemungkinan tidak tepat. Melalui pengalaman dan pemerhatian, saya perhatikan rumah-rumah orang dahulu memang mengutamakan arah kiblat dan jarang sekali bertemu rumah orang-orang Islam dahulu yang tempat solatnya menyerong kekiri atau kekanan.

  1. Rumah 3 bilik.

Dalam Kitab ‘Tajul Muluk’ ada disebutkan berkenaan cara membuat rumah 3 ruang/bilik atau 4 ruang/bilik. Tidak pula disebutkan 2 bilik atau 1 bilik.

Dalam hukum fekah berkenaan dengan adab lelaki perempuan dan bagaimana kewajiban memisahkan bilik tidur anak lelaki dan perempuan, penyediaan sekurang-kurangnya 3 bilik bagi sesebuah rumah harus dititikberatkab dalam rekabentuk pembinaan rumah Muslim. Bilik utama dihuni oleh ibubapa, bilik kedua untuk anak-anak lelaki dan bilik ketiga untuk anak-anak perempuan.

Pemaju perumahan seharusnya digesa supaya mendirikan rumah dengan sekurang-kurangnya 3 bilik. Ini boleh di lakukan dengan arahan dan peraturan yang di wajibkan oleh kerajaan.

  1. Bilik air/ tandas.

Islam memandang berat akan kebersihan. Tidak cukup dengan kebersihan Islam meletakkan ‘suci’ sebagai salah satu kewajipan bagi orang Islam bagi membolehkan mereka melaksanakan ibadat. Dan sehubungan dengan itu juga, bilik air (yang biasanya di satukan dengan tandas) adalah tempat tinggal syaitan. Maka tidak wajarlah manusia menghuni rumah yang juga dihuni oleh syaitan.

Untuk tujuan kebersihan, suci dan jauh dari syaitan, maka digalakkan supaya rumah atau bilik-bilik tidak disatukan dengan bilik air atau tandas. Caranya, bumbung bilik air itu hendaklah dipisahkan dengan bumbung bangunan rumah. Dengan kepandaian dan kreativiti arkitek, kedudukan rumah dan laluan ke bilik air ini boleh dilakukan dengan mudah, selamat dan selesa pada setiap masa.

  1. Rekabentuk Islam

Kita lihat bagaimana identiti ugama-ugama selain dari Islam telah digunakan dalam pembinaan rumah atau bangunan secara berleluasa. Baru-baru ini di temui bahawa bentuk pembinaan menara berkembar KLCC adalah sama dengan rekabentuk candi Hindu di Merbuk Kedah. Tidak diketahui samada ini adalah kebetulan atau memang merupakan tujuan utama motif pembinaan bangunan berkembar KLCC.

Walaubagaimanapun arkitek Muslim harus diberi kesedaran bahawa pembinaan rumah atau bangunan orang Islam seharusnya mempunyai ciri-ciri Islam. Mungkin mereka boleh mencipta bentuk ‘arch’, ‘kecubung’ atau bermotifkan ‘flora’ sebagai asas kepada pembinaan dan design rumah atau bangunan.

Apakah kesan rekabentuk Islamik kepada penghuni dan pengunjung rumah tersebut? Secara mudahnya, penghuni dan pengunjung rumah tersebut merasa bahawa dirinya dekat dengan Islam, bersatu dalam sebuah rumah yang menitikberatkan nilai-nilai Islam yang sangat harmoni.

Bagi penghuni yang berada didalam rumah bercirikan Islam, sudah tentu merasa aman dan tenteram kerana tinggal didalam suasana Islam dari sejak mula diduduki dengan niat ‘Kerana Allah’. Dengan niat itulah mudah-mudahan Allah menurunkan rahmat, hidayah dan inayah kepada penghuni rumah tersebut. Tidak hairanlah jika kita lihat sesiapa sahaja yang hendak menegakkan kalimah Allah, menegakkan Islam dengan apa cara akan dikurniakan Allah ganjaran dalam berbagai bentuk baik semasa didunia ataupun diakhirat.

Secara keseluruhannya, dirasakan bahawa terdapat banyak lagi yang perlu di bincangkan, idea diketengahkan dan diamalkan oleh masyarakat berkenaan dengan ‘Model Rumah’ yang sesuai untuk orang-orang Islam. Rumah dan bangunan orang Islam mestilah berbeza dengan rumah orang bukan Islam kerana peranan rumah bagi orang Islam lebih luas dari peranan rumah orang bukan Islam. Islam meletakkan ‘Baiti Jannati’ atau ‘Rumahku Syurgaku’ padahal orang-orang bukan Islam hanya meletakkan ‘Home Sweet Home’. Itulah perbezaan dan kerana itulah semua pihak harus memberikan perhatian yang sewajarnya demi pembangunan masyarakat insan Muslim.


Apa anda nampak?

October 18, 2008

Dalam foto ini, nampak tak a man kissing a woman? Kalau nampak baguslah. Anda memang kreatif. Tapi kalau tidak nampak bukan bermakna anda pendek umur, tapi mungkin belum halus pandangan.  Sensitiviti, seni, sentimental, abstrak dan halusnya jiwa mungkin jarang-jarang ditemui pada manusia didunia ini. Mungkin bagi sesetengah orang, gambar tersembunyi ini cepat sahaja di temui, tetapi bagi sesetengah yang lain sampai berjam-jam masih lagi tidak dapat menemuinya. Yang dia nampak hanyalah orang tua berjanggut berambut daun.

Kadang-kadang cara kita melihat sesuatu tidak sama maka kita tidak dapat menggambarkan apa yang tersirat pada sesuatu perkara.

Hanya manusia yang mengalami sahaja yang mengetahui apa yang terjadi didalam dirinya.


Tradisi Mulia Yang Hilang

October 12, 2008

Ahh…apalah yang jadi sekarang nihh!!! Kenapa terasa sangat kehilangan adat resam orang Melayu ni. Sedikit demi sedikit adat resam orang Melayu terhakis dimuka bumi ini. Memang adat resam Melayu ada yang tidak berguna diamalkan, tetapi kenapa yang bergunapun tidak diamalkan. Adat resam yang berguna tu sudah semestinyalah bertepatan dengan ajaran agama kita. Bukankah orang melayu ini sopan dan santun berbudi-bahasa. Kemana perginya semua itu.

Dari banyak-banyak adat resam Melayu, satu sahaja contoh nak disentuh disini iaitu menghadiri jemputan majlis. Tidak kira majlis kenduri kahwin atau walimah, jemputan bertahlil atau membaca yasin, jemputan kenduri kesyukuran, jemputan meraikan kelahiran dan sebagainya.

Menghadiri Majlis

Sekarang ini jika kita menghadiri majlis-majlis yang disebutkan diatas, rata-ratanya pergi dengan ‘tangan kosong’. Apa salahnya setidak-tidaknya jika tidak ada apa-apa hadiah atau ‘buah tangan’ dibawa, berikan sahaja wang semasa bersalaman dengan tuan rumah? RM10 atau RM5 pun boleh jika kurang berkemampuan. Cuba buat perkiraan sendiri berapa ramaikah kakitangan yang kita bawa untuk mengunyah di majlis tersebut darab dengan RM5 satu kepala. (contoh: RM5 x 4 orang = RM20). Maka tuan rumah sebenarnya berbelanja sebanyak RM20 untuk memberi makan kita anak beranak. Itu satu perkiraan ala kadar. Bagaimana kalau kita bawa anak beranak ke KFC, makan 4 orang dah tentu RM40 lebih kena dikeluarkan.

Oleh itu sebagai manusia yang waras, janganlah hanya berkata “Alahh.. kenduri kan, tentu tuan rumah tu nak belanja kita makan”. Itu hak tuan rumah, bagaimana pula dengan hak kita sebagai tetamu yang berkunjung.

Begitu juga halnya jika kita berhari raya kerumah keluarga atau rumah sahabat handai. Bawalah sedikit kueh ataupun biskut sebagai buah tangan. Tidak ada salahnya jika kita berbuat demikian, tetapi percayalah jika kita amalkan membawa ‘buah tangan’, kita akan merasa puas dan berkemungkinan amalan kita itu akan di contohi oleh orang lain pula. Rasanya tidak akan luak rezeki kita jika amalan tersebut dilakukan. Sebaliknya, rezeki kita akan ditambah lagi oleh Allah, percayalah!

Cuba lihat sebagai contoh tradisi orang-orang Barat dan orang Cina ketika mereka menghadiri majlis. Memanglah mereka itu bukan Melayu yang lemah-lembut, bukan Islam yang banyak ajaran-ajaran mulia, tetapi mereka mengamalkan membawa ‘buah tangan’. Orang Italy misalnya akan membawa ‘wine’ sendiri kerumah yang ada party dan tuan rumah akan berasa sangat gembira menerima ‘buah tangan’ itu. Tahukah anda berapa harga sebotol ‘wine’?

Orang Cina pula juga sama keadaannya apabila mengunjungi rumah sahabat handai mereka. Kadang-kadang jika kita perhatikan di supermarket-supermarket, ada banyak ‘hamper’ yang diletakkan ditangga, di ruang depan dan dekat dengan kaunter bayaran ketika musim-musim perayaan kaum Cina. Bukan itu sahaja, malah disetiap masa, ada sahaja ‘hamper’ berbagai saiz disediakan untuk dijual. Ini bermakna bahawa kaum Cina mengamalkan budaya yang baik yang orang-orang Melayu Islam jarang-jarang menghayati dan mengamalkannya.

Bagaimanakah perasaan kita sebagai tuan rumah ketika menerima hadiah atau buah tangan dari tetamu kita. Seronok, suka hati, berbesar hati, gembira dan berterima-kasih sangat rasanya. Begitulah keadaannya kalau kita melakukan amalan ini berterusan, semua orang akan berpuas hati dan gembira menerima kunjungan kita.

Menerima Tetamu

Apabila ada majlis dirumah orang Melayu Islam, maka akan adalah bacaan Tahlil, Yasin ataupun setidak-tidaknya doa selamat. Pada kebiasaannya, tetamu yang hadir akan ‘disuruh’ bertahlil atau membaca Yasin atau membaca doa untuk tuan rumah atau untuk kesemua yang datang. Perkataan ‘disuruh’ sebenarnya adalah bermaksud suruhan tidak langsung, kerana jika dijemput kerumah yang ada majlis tersebut jemputan itu berbunyi “Datanglah kerumah saya, saya nak buat majlis Tahlil/ baca Yasin sedikit”. Secara tidak langsungnya antara lain bermaksud suruh datang bertahlil/ baca Yasin dirumahnya.

Selepas bertahlil atau baca Yasin maka barulah dihidangkan makanan kepada tetamu. Antara lain bermaksud seolah-olah mesti bertahlil dan baca Yasin kemudian baru di jamu dengan makanan. Bukankah lebih baik jika tetamu datang kerumah, terus sahaja dijamu dengan makanan. Setelah semua tetamu berasa kenyang, maka terpulanglah kepada tetamu yang dalam kesyukuran dan kekenyangan itu membaca doa sebagai balasan kepada apa yang telah mereka terima dari tuan rumah. Terpulanglah kepada budibicara mereka untuk membaca apa sahaja yang mereka kehendaki. Jika tidak baca pun tidak apa sebab kesemuanya bergantung kepada keikhlasan.

Apa yang berlaku dalam masyarakat kita seolah-olah mengatakan ‘tak baca, tak makan’. Oleh itu tetamu pun membaca tahlil/ Yasin dan berdoa dalam kelaparan.

Dalam Islam, kita disuruh memuliakan tetamu yang datang sampai 3 hari kalau tetamu masih menginap dirumah kita. Memuliakan itu bermaksud wajib memberi segala kemudahan makanan, tempat tinggal dan layanan istimewa kepada mereka selama 3 hari mereka berada dirumah kita. Selebih harinya itu menjadi sunat pula bagi tuan rumah melayan mereka seadanya.

Lagi sedih, jika berkunjung dirumah yang ada Majlis, selepas sahaja bacaan tahlil/ Yasin dan berdoa, tetamu disuruh mengambil sendiri makanan. Kaedah ‘Buffet’ ini sebenarnya sesuai di hotel-hotel sahaja. Andaian yang dibuat adalah untuk memudahkan tuan rumah menguruskan makan minum tetamu, tidak payah ramai-ramai menguruskan tetamu, tidak payah basuh banyak pinggan mangkuk dan menjimatkan lauk pauk.

Jika difikirkan memanglah mudah kaedah ‘buffet’, jika dibandingkan dengan cara melayan tetamu kaedah lama ‘4 orang setalam satu hidangan’. Jika sesiapa pernah menghadiri majlis yangmenggunakan kaedah lama, sudah tentu rasa sangat-sangat dihargai kerana ada kalanya tuan rumah mengadakan pelayan sehingga basuh tangan pun pelayan tolong jiruskan. Kelebihannya, makan pun tidak berselerak dan tetamu diberi makan tidak payah pergi berbaris mengambil makanan. Bukankah layanan sebegitu amat istimewa kepada tetamu?

Memanglah cara lama itu memenatkan tetapi kalau difikir secara rasional jika tidak mahu memenatkan tidak payahlah membuat kenduri atau majlis langsung. Jadi tidak lah penat dan membuang tenaga.

Mungkin pekara-perkara remeh yang tersebut diatas sebenarnya tidak ada apa-apa kesan terhadap masyarakat kini. Tetapi bagi masyarakat Melayu-Islam yang mementingkan perhubungan yang paling baik sesama mereka, maka amalan lama tersebut patut di pertahankan.

Semakin buruk diperhatikan berlaku dikalangan Masyarakat Melayu-Islam bila sahaja ada majlis-majlis seperti diatas, tuan rumah menyediakan makanan yang dibungkus dalam bekas polisterin. Selesai bacaan tahlil / yasin dan berdoa, tetamu akan diberikan sebungkus seorang lalu beredarlah balik kerumah masing-masing. Amat mudah dan menyenangkan kerja.

Kesimpulan

Banyak lagi adat-resam Melayu-Islam yang telah di tinggalkan oleh masyarakat kita hari ini. Jika dibandingkan dengan orang bukan Islam, kita patut merasa malu kerana mereka lebih mementingkan perhubungan dengan masyarakat mereka berbanding Melayu-Islam.

Mungkin disebabkan kita berada di dalam era moden, maka kesemua adat dimodenkan. Maka tinggallah kita dengan budaya baru yang semakin hambar. Lalu generasi baru akan mengamalkan apa yang kita amalkan dan menganggap budaya baru adalah yang terbaik bagi mereka. Itulah arah generasi yang kita tinggalkan.