Ego Lelaki …. Isteri perlu pandai melayani

Mengurut tubuh suami yang penat supaya segar semula dengan menggunakan jari-jari tangan sebagai alatnya. Ada juga teknik mengurut tradisional yang menggunakan bahagian pangkal tapak tangan, siku dan juga kaki. Lain alat yang digunakan lain sensasi yang tercipta.

Dalam bidang urut-mengurut komersial, ada dua jenis perkhidmatan mengurut badan yang ditawarkan pada lelaki. Perkhidmatan yang pertama adalah bagi tujuan menyihatkan jasmani semata-mata. Selepas diurut mereka rasa badan mereka sihat.

Perkhidmatan yang kedua adalah urutan badan juga tetapi tujuannya ialah untuk menyegarkan emosi dan ego lelaki. Selepas diurut mereka rasa jiwa mereka ‘sihat’. Kedua-dua perkhidmatan ini dilakukan oleh pakar-pakar yang berlainan dan mereka menggunakan alat-alat dan teknik-teknik yang sanat berlainan.

Ego lelaki seperti tubuh mereka, selalu letih dan penat kerana faktor-faktor seperti tekanan kerja dan masalah. Bagi sesetengah lelaki apabila mereka balik kerja, ego dan jiwa mereka bertambah-tambah letih dan penat dibuat oleh layanan yeng mereka terima daripada isteri dirumah.

Bagaimanakah ego lelaki yang penat dapat disegarkan semula oleh isteri apabila mereka pulang kerumah? Alat untuk mengurut ego lelaki itu adalah kata-kata.

Untuk mengurut lelaki, bercakaplah dengan menggunakan gaya bahasa yang ‘mendukung’. Gaya bahasa inilah berfungsi menghapuskan jarak psikologi antara suami dan isteri.

Antara kemahiran komunikasi yang sangat tinggi harganya ialah kemahiran mengucapkan kata-kata yang ingin didengar oleh orang yang mendengarnya.

Apabila lelaki bercakap kepada isterinya, dia bukan mahu mendengar satu atau dua patah perkataan sahaja jawapan daripada mulut isterinya. Dia mahu mendengar lebih daripada setakat kata-kata itu. Dia mahu mendengar apa yang ada disebalik kata-kata isterinya itu. Jadi sebelum si isteri bercakap untuk tujuan mengurut ego suaminya, fikirkanlah dahulu apa keperluan jiwa suaminya.

Apabila lelaki bercakap kepada isterinya kata-kata yang sangat ingin didengar daripada mulut isterinya ialah kata-kata yang ‘mengesahkan’ apa yang diucapkan oleh si suami. Jawapan yang tidak mengesahkan ialah jawapan yang mengatakan si suami salah, silap, tidak betul, bodoh dan seumpamanya. Ada beberapa jenis jawapan isteri yang sangat digemari oleh suami:

Jenis pertama ialah jawapan yang dengan cara terus terang mengesahkan kata-kata sisuami. Tidak ada dolak dalik lagi. Melalui kata-katanya, memang isteri memberitahu, dia satu pendapat dengan suaminya.

“Betul kata abang tu”.

“Saya setuju dengan pandangan abang”.

“Abang betul”.

“Saya sokong alasan abang”.

“Kalau begitu kata abang saya terima”.

“Saya dapat rasakan apa yang abang rasakan”.

“Kalau saya dalam kedudukan abang, saya pun akan buat apa yang abang buat”.

Pengesahan jenis ini adalah paling penting dan yang paling digemari. Apabila isteri berkata begitu dengan jelas dia memberitahu suaminya bahawa dia nampak sebagaimana suaminya nampak.

Jenis kedua adalah jawapan yang menggambarkan perasaan positif si isteri. Jawapan jenis ini pun sangat digemari oleh suami, dan ia sangat penting diucapkan oleh isteri supaya suami tahu bahawa apa yang dipercakapkan membuat isterinya suka. Perasaan positif termasuklah rasa suka, seronok, gembira, lega, lapang, syukur dan lain-lain perasaan apabila mendengar apa yang dikatakan oleh si suami.

“Saya suka apa yang abang beri”.

“Seronoknya, abang dah balik!”.

“Abang ni pandailah usik saya”

“Saya gembira abang dah berjaya”

“Baguslah! Sekarang abang boleh bekerja dengan lebih berkesan”.

“Tahniah, abang”.

“Wauuu! Abang memang hebat!”

“Leganya hati saya bila abang kata begitu”

“Saya bangga dengan pencapaian abang”

Tidak ada suami yang tidak seronok mendengar jawapan jenis ini dari mulut isteri. Kata-kata seperti itu sangat memenuhi keperluan jiwa lelaki. Ia membuat mereka berasa diri mereka istimewa dan berbeza dari lelaki lain. Ia amat memenuhi keperluan ego suami.

Jawapan jenis ketiga ialah jawapan yang menyatakan persetujuan. Kebanyakan isteri, apabila mereka bersetuju dengan pendapat suami, mereka diam-diam sahaja.

Perbuatan begitu tidak menyeronokkan hati suami. Jadi, katakanlah dengan jelas bahawa bersetuju dengan suami.

“Saya setuju dengan abang. Idea itu memang baik”.

“Saya sokong pendapat abang”.

“Betul kata abang tu”

“Saya boleh terima pandangan abang”

Menyokong lain, mendukung lain. Menyokong bermakna isteri bersetuju dengan pendapat suami. Mendukung bermakna isteri dapat merasakan apa yang suami rasakan.

Ada kalanya suami bercakap-cakap dengan isterinya bukan kerana dia ada apa-apa idea pendapat atau cadangan. Sebaliknya dia cuma mencari ketenangan jiwa. Mungkin dia mencari hiburan mendengar daripada mulut isterinya.

“Berat betul beban perasaan yang abang terpaksa tanggung”.

“Sekarang barulah saya faham kenapa abang berbuat begitu”.

“Patutlah abang buat begitu. Selama ini saya tidak tahu”.

Isteri yang pandai berkomunikasi tahu ada beberapa bentuk ayat yang tidak boleh digunakan apabila melayan suami bercakap. Ayat-ayat itu disebut ayat penafian.Kita dikatakan menafikan sesuatu apabila kita mengatakan perkara itu salah.

“Cakap awak itu salah” (x)

“Abang ni merepek sajalah” (x)

“Bohonglah abang ni” (x)

“Takkan macam tu pulak! Tak masuk akal saja bunyinya” (x)

“Abang ni mengarutlah” (x)

“Eh orang tua ni buang tebiatke?” (x)

Kata-kata begini amat menyakitkan hati suami.

Apabila mendengar kata-kata isteri seperti itu, maka ego suamipun kemik. Tabiat suka bercakap dengan gaya ini sangat merosakkan hubungan suami isteri. Inilah antara faktor-faktor mengapa ramai suami tidak seronok hendak bercakap-cakap dan berbual-bual dengan isteri.

Untuk mengurut ego suami, jangan bercakap menggunakan gaya berikut.

  1. Pertama jangan suka menuduh suami.

“Abang tidak bertimbang rasalah” (x)

“Awak tu memang kedekut” (x)

“Saya tahu awak tu malu beristerikan perempuan bodoh macam saya” (x)

“Awak silap” (x)

“Awak kejam” (x)

“Abang memang tak perlukan saya lagi” (x)

“Abang memang tak boleh dipercayai” (x)

  1. Jangan menilai suami secara negatif

“Abang ni kurus sangatlah!” (x)

“Kenapa abang ni degil tak mahu dengar cakap isteri sendiri?” (x)

“Awak ni dah tua, buatlah cara tua” (x)

“Hai orang ada ijazah tinggi macam awak pun bodoh juga?” (x)

  1. Jangan suka mengajar suami

“Apa halnya awak ni? Kerja senang begini pun tak tahu buat? Ada otak tu pakailah sikit. Mari saya tunjukkan pada awak”. (x)

“Cara abang tu salah. Jangan buat macam tu. Nanti rosak. Buat macam ni!” (x)

“Buat kerja tu hati-hati sikit bang. Pelan-pelan”.(x)

“Jangan gopohlah, nanti patah langsung. Membazir saja!” (x)

“Abang mesti ikut nasihat saya. Kalau tidak, abang juga akan susah, bukan orang lain.” (x)

  1. Jangan suka membaca fikiran suami.

“Saya tahu abang memang kenakan saya” (x)

“Haa.. kalau saya mati senanglah hati awak tu, bolehlah abang kawin lain”. (x)

“Abang fikir saya ni bodoh sangat ke!” (x)

“Saya tahulah apa yang ada dalam hati awak tu. Tak usahlah nak sorok-sorok pula”. (x)

“Awak memang nak cari lainkan? Maklumlah duit awak dah banyak”. (x)

Apabila berlaku keretakan pada hubungan suami isteri, pihak isterilah yang banyak menanggung kesannya. Oleh itu adalah bijaksana jika isteri-isteri mengambil langkah belajar cara-cara menjaga ego suami dan memelihara keharmonian rumahtangga.

Tidak dinafikan bahawa kemahiran berkomunikasi juga amat penting bagi lelaki, tetapi sekiranya salah satu pihak sanggup memulakan langkah pertama, itupun sudah sangat besar faedahnya. Jangan tunggu sampai suami berubah kita dulu kita hendak mengubah cara-cara kita sekarang.

Jangan terperangkap didalam pemikiran ‘ayam dan telur’. Isu mencipta kebahagiaan untuk suami demi keuntungan diri si isteri sendiri bukannya isu ayam dan telur. Tukar cara-cara bercakap yang salah dengan menggunakan cara-cara yang betul. Nanti, dengan sendirinya, apabila ego suami sudah sihat dan segar di dalam rumah sendiri, dia kan mengubah cara layanan yang dia gunakan sekarang dengan layanan yang lebih baik.

Dr. Abdullah Hassan

Utusan Malaysia – 3/6/98

4 Responses to Ego Lelaki …. Isteri perlu pandai melayani

  1. aida says:

    Sedangkan lidah lagi tergigit, ini kan pula suami isteri,
    Buang yang keroh, ambil yang jernih, baru teguh peribadi…

    Ini antara lirik lagu P.Ramlee.. sedap didengar waktu hati tengah merajuk…

  2. kasihqadeja says:

    Sesungguhnya secara teorinya mmg betul dan nampak mudah. komunikasi dalam suami isteri teramatlah penting. tapi hakikatnya dalam memperaktikan teori ni amat lah payah kerana tak semua lelaki memiliki sensitiviti yang tinggi… secara jujurnya. bila isteri berlembut dgn mengiakan, bersetuju.. bak kata ahli fikir, angguk2 geleng2 tunduk2…. some hasben jadi terleka dan mula rasa diri mereka betol atas setiap hal dan buat sesuatu tanpa berfikir jauh or akan mula ikot perasaan sendiri je. not all, but sebilangan.. yang pastinya tak kurang.

    Sebaiknya dlm melayani suami, wife juga perlu ada integriti untuk terus dihormati. yang tak betul perlu diperbetulkan.. tapi biarlah dgn cara diplomasi… tak boleh amalkan ikot telunjuk.. iya2 saya2.. kiri kanan ikot saja. semata2 untuk feed ego suami. bukan melanggar adat, tapi tak semua lelaki betul2 memahami istilah.. suami adalah pemimpin keluarga, dan kebajikan isteri zahir dan perasaan adalah tanggungjawab mereka. walau bagaimanapun, kesabaran adalah kunci rumah tangga kerana bukan mudah untuk dua jiwa bersatu dalam satu tautan hidup yg pastinya panjang dan rumit.

    bak kata p. ramlee…

    Suami isteri mesti berpakat
    Rumah tangga mendapat berkat

    apa guna kita bertengkar
    suami isteri mesti bersabar

    Kasih sayang rukun dan damai
    Hidup seperti dalam mahligai

    Buang yang keruh ambil yang jernih
    Baru teguh peribadi

  3. arjuna says:

    Kadeja…yelahh…kannn.. banyak pengajaran kita boleh ambil waimma dari P Rmalee sekalipun.

  4. Anonymous says:

    Betul…jangan salahkan isteri Sahja

Leave a comment