KUALA LUMPUR, 16 Mei (Hrkh): Inflasi sememangnya semakin meningkat, kian membebankan rakyat dan hakikat itu terbukti apabila indeks harga pengguna (CPI), yang merupakan indikator utama inflasi, meningkat kepada purata 4.63 peratus April ini, berbanding indeks yang dicatat April tahun lepas.
Menurut Business Times (BT), ia merupakan kesan kepada kenaikan harga minyak Febuari lalu dan pakar-pakar ekonomi menjangkakan inflasi akan terus meningkat pada separuh pertama tahun ini.
Sembilan pakar ekonomi yang memberi respon kepada soal-selidik BT mengenai inflasi itu juga memberi amaran bahawa inflasi akan terus memuncak dengan kenaikan tarif elektrik yang dijangka akan berlaku dalam tempoh terdekat tahun ini.
Inflasi pada Mac lalu melonjak ke tahap tertinggi dalam enam tahun, iaitu 4.8 peratus tahun atas tahun, berikutan kenaikan kos pengangkutan akibat kenaikan harga minyak sebanyak 30 sen seliter.
Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Dato’ Seri Dr Lim Keng Yaik telahpun menyatakan kerajaan akan membenarkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menaikkan tarif elektrik, untuk pertama kali dalam sembilan tahun.
Mengambil kira kesan kenaikan tarif elektrik yang dijangka menaikkan lagi kadar inflasi dan akan tambah membebankan rakyat, dua persatuan pengguna baru-baru ini menggesa kerajaan menghentikan spekulasi kenaikan tarif elektrik dengan mengumumkan segera kadar baru.